Maraton Harapan Terry Fox

Patung Terry Fox di Beacon Hill Park, Victoria, British Columbia

Pada malam sebelum pembedahan barahnya, Fox diberi senaskhah rencana tentang Dick Traum, pesakit amputasi pertama yang berjaya menghabiskan Maraton New York.[2] Rencana tersebut mengilhamkannya untuk memulakan program latihan 14 bulan, di samping meluahkan hasratnya untuk bertanding dalam maraton kepada keluarganya.[1] Secara senyap-senyap, beliau memikirkan rancangan yang lebih menyeluruh. Pengalamannya di hospital menyebabkan Fox berasa kecewa akan betapa sedikitnya dana yang ditujukan kepada penyelidikan barah. Beliau berniat untuk berlari sepanjang negara Kanada dengan harapan meningkatkan kesedaran barah, satu matlamat yang asalnya hanya didedahkan kepada sahabatnya Doug Alward.[19]

Gaya larian Fox luar biasa sekali, kerana beliau perlu melompat-lompat dengan kakinya yang elok kerana kaki buatannya mengambil masa lama untuk membetulkan semula spring-springnya selepas setiap langkah.[20] Beliau merasa kesakitan ketika berlatih kerana tekanan berlebihan yang terpaksa dikenakannya pada kaki elok dan kaki kudungnya menyebabkan tulang lebam, kulit melecet dan kesakitan teruk. Selepas lebih kurang 20 minit setiap larian, beliau mendapati dirinya melepasi ambang kesakitan dan lariannya makin mudah.[21]

Pada Ogos 1979, Fox bertanding dalam maraton di Prince George, British Columbia. Beliau menamatkan perlumbaan di tempat terakhir, sepuluh minit di belakang pesaing terdekatnya, namun usahanya disambut oleh air mata dan tepukan tangan dari para peserta yang lain.[2] Selepas maraton itu, beliau mendedahkan seluruh rancangannya kepada sanak saudaranya.[22] Mula-mulanya rancangan itu dibantah ibunya sehingga mengecewakan Fox, tetapi kemudian dia menyokong projeknya. Terkenang ibunya, "Katanya, 'Saya sangka ibulah antara orang-orang pertama yang mempercayai saya.' Memang pun bukan saya. Sayalah orang pertama yang menghampakannya".[23] Mula-mula, Fox berharap untuk mengumpul $1 juta,[23] tetapi kemudian hendak mengumpul $1 dari setiap satu daripada 24 orang penduduk Kanada.[24]

Persediaan

Pada 15 Oktober 1979, Fox menghantar surat yang mengumumkan matlamatnya serta merayu pembiayaan kepada Persatuan Barah Kanada. Beliau menyatakan kesanggupannya untuk "menawan" kecacatannya, serta berikrar untuk menghabiskan lariannya, walaupun terpaksa "merangkak setiap batu yang terakhir". Dalam menjelaskan sebab beliau ingin mengumpul dana untuk penyelidikan, Fox memerikan pengalaman peribadi rawatan barahnya:

Saya sedar bahawa itu hanya separuh perjuangan saya, kerana semasa saya melalui pengalaman getir kemoterapi yang menyebabkan saya menjadi lemah dari segi fizikal dan emosi selama 16 bulan, saya dikejutkan oleh perasaan yang mengelilingi dan mengalir melalui klinik barah. Ada wajah yang masih berani senyum, dan ada yang sudah berhenti senyum. Ada perasaan menahan diri kerana harapan, dan juga perasaan putus asa. Perjuangan saya bukannya mementingkan diri. Saya tidak dapat menafikan masih wujudnya wajah-wajah dan perasaan-perasaan sebegini, walaupun saya akhirnya bebas daripada penderitaan. Kesakitan ini mesti berakhir....dan saya berazam untuk berjuang secukup-cukupnya.[25]

Fox langsung tidak berjanji supaya usaha-usahanya akan membawa kepada terhasilnya penyembuh barah, tetapi beliau menutupi suratnya dengan kenyataan: "Kami memerlukan bantuan saudara. Orang-orang di klinik barah di seluruh dunia memerlukan sesiapa yang mempercayai keajaiban. Saya bukannya berangan-angan, dan saya bukan bermaksud ini akan melancarkan semacam jawapan tetap untuk menyembuh barah. Saya percaya akan keajaiban, kerana saya harus."[25] Persatuan Barah ragu-ragu akan dedikasinya, tetapi bersetuju untuk menyokong Fox sebaik sahaja beliau mendapatkan penaja serta memohon sijil perubatan dari pakar jantung yang menyatakan beliau cukup sihat untuk mencuba larian. Fox didiagnosis dengan hipertrofi ventrikular kiri (jantung mengembang), sejenis keadaan yang sering dikaitkan dengan ahli sukan. Para doktor mengingatkan Fox akan risiko yang mungkin dihadapinya, namun mereka tidak begitu mengambil berat keadaan kesihatannya itu. Mereka mendukung penyertaannya apabila beliau berjanji untuk berhenti segera seandainya beliau mula mengalami apa-apa masalah jantung.[26]

Sepucuk lagi surat dihantar kepada beberapa buah syarikat untuk merayu dermaan dalam bentuk kenderaan, kasut lari dan pembiayaan perbelanjaan larian.[27] Fox juga menghantar surat-surat lain untuk meminta geran untuk membeli kaki buatan khusus untuk larian. Beliau mengatakan bahawa beliau bersyukur kerana hidup selepas rawatan barahnya, "Saya ingat saya berjanji bahawa, seandainya saya masih bernafas, saya akan bangkit untuk bersemuka dan menyahut cabaran baru [mengumpul dana penyelidikan barah] ini sambil membuktikan diri saya wajar terus hidup, satu perkara yang diambil ringan oleh terlalu ramai orang."[27] Ford Motor Company menderma sebuah van pekhemah[3] dengan bahan api sumbangan Imperial Oil, manakala Adidas menyumbangkan kasut larinya.[28] Fox menolak mana-mana syarikat yang meminta agar beliau mengendors barang keluaran mereka serta menolak mana-mana dermaan bersyarat kerana beliau tidak mahu sesiapa mengaut untung dari acara lariannya.[3]

Perjalanan jauh merentas Kanada

Laluan Fox merentas Kanada timur. Beliau bermula di St. John's di pantai timur dan berlari ke arah barat.

Maraton bermula pada 12 April 1980, apabila Fox mencelupkan kaki kanannya ke dalam Lautan Atlantik dekat St. John's, Newfoundland, sambil mengisikan air lautan ke dalam dua botol besar. Beliau ingin menyimpan sebotol air sebagai cenderahati, dan menuangkan air yang satu lagi ke dalam Lautan Pasifik sebaik sahaja menghabiskan perjalanannya di Victoria, British Columbia.[24] Larian Fox disokong oleh Doug Alward, yang memandu van dan memasak makanan untuknya.[28]

Fox berdepan angin kencang, hujan lebat dan ribut salji pada hari-hari pertama lariannya.[1] Pada mulanya, sambutan terhadap lariannya mengecewakan, tetapi beliau menjadi lebih bersemangat setibanya di Port aux Basques, Newfoundland di mana 10,000 orang penduduk pekan itu mempersembahkan dermaan lebih $10,000 kepadanya.[28] Sepanjang perjalanan, Fox acap kali meluahkan kemarahan dan kekecewaannya terhadap sesiapa yang dilihatnya menghambat perjalanannya, lebih-lebih lagi beliau sering bertengkar dengan Alward. Setibanya mereka di Nova Scotia, mereka enggan bertegur sapa, maka adik lelaki Fox, Darrell yang ketika itu berusia 17 tahun, diaturkan untuk menyertai mereka sebagai penampan.[23] Fox meninggalkan wilayah Maritimes pada 10 Jun dan berdepan dengan cabaran baru di wilayah Quebec kerana kumpulannya tidak fasih berbahasa Perancis[29], tambahan pula pemandu-pemandu yang sentiasa memaksanya keluar dari jalan raya[30] Fox tiba di Montreal pada 22 Jun, hanya satu pertiga daripada perjalanannya yang 8,000-kilometer (5,000 mi) panjangnya, setelah mengumpul dermaan melebihi $200,000.[20] Setelah diyakinkan oleh Persatuan Barah Kanada bahawa ketibaan di ibu negara Ottawa sempena Hari Kanada boleh membantu usaha pengumpulan dana, beliau menetap di Montreal selama beberapa hari lagi.[30]

Memorial 'Batu 0' maraton Terry Fox di bandar St. John's

Fox menyeberangi sempadan Ontario di pekan Hawkesbury pada 28 Jun. Beliau disambut oleh seangkatan pancaragam dan ribuan penduduk yang membarisi jalan-jalanan untuk bersorak untuknya, sementarta Polis Wilayah Ontario mengiringinya sepanjang wilayah.[31] Biarpun terpaksa mengharungi cuaca musim panas yang sangat panas, beliau terus berlari 26 batu (42 km) sehari.[29] Setibanya di Ottawa, Fox bertemu dengan Perdana Menteri Pierre Trudeau dan Gabenor Jeneral Ed Schreyer di samping menjadi tetamu kehormat di berbilang acara sukan di ibu kota.[31] Di hadapan 16,000 peminat, beliau melakukan tendang mula beristiadat di sebuah perlawanan Canadian Football League lalu menerima tepuk sorak gemuruh. Jurnal catatan Fox mencerminkan dirinya yang semakin teruja terhadap sambutan yang diterimanya semasa mula memahami betapa terharu rakyat Kanada melihat usahanya.[32]

Seramai 10,000 orang menemui Fox di Toronto, di mana beliau diberi penghormatan di Dataran Nathan Phillips. Semasa berlari ke dalam dataran, beliau diiringi oleh ramai orang, termasuk bintang hoki ais Darryl Sittler yang mempersembahkan jersi All-Star Game 1980 kepada Fox. Persatuan Barah menganggarkan jumlah dermaan sebanyak $100,000 yang dikumpulnya pada hari itu sendiri.[2] Ketika meneruskan perjalanan ke arah Ontario selatan, beliau bertemu dengan seorang lagi bintang hoki ais, Bobby Orr yang menghulurkan cek bernilai $25,000 kepadanya. Fox menganggap pertemuannya dengan Orr sebagai sorotan penting perjalanannya.[2]

"Semua orang seakan-akan sudah berputus asa. Saya belum lagi. Memang tidak mudah dan tidak seperti yang diharapkan, tetapi saya sedang mencapai sesuatu. Berapalah orang yang berputus asa melakukan sesuatu yang murni. Saya pasti kita sudah menemui penawar untuk barah 20 tahun lalu jika kita betul-betul mencuba"

Fox berucap di pinggir kota Ottawa[4]

Semakin naik nama Fox, Persatuan Barah menjadualkannya untuk menghadiri banyak lagi majlis dan memberi banyak lagi ucapan.[33] Fox cuba menampung mana-mana permintaan yang disangkanya memberi peluang untuknya mengumpul dana, tanpa mengira betapa jauhnya ke situ.[34] Namun demikian, beliau melenting kerana merasakan pihak media mengganggu kehidupan peribadi, misalnya apabila akhbar Toronto Star melaporkan beliau sudah berteman wanita.[35] Fox tidak pasti siapa lagi di kalangan media yang boleh dipercayainya setelah timbulnya laporan negatif megenainya, termasuk laporan akhbar Globe and Mail yang menyifatkannya sebagai seorang "abang zalim" yang mencerca Darrell, lebih-lebih lagi mendakwa bahawa beliau berlari kerana menaruh dendam terhadap seorang doktor yang tersalah mendiagnosis keadaan kesihatannya, tetapi tuduhan-tuduhan tersebut dinafikannya sebagai "merepek".[36]

Desakan fizikal berlari maraton setiap hari memberikan kesan kepada badan Fox. Selain tempoh rehat di Montreal atas permintaan Persatuan Barah, Fox enggan mengambil cuti sehari pun, walau pada hari jadinya yang ke-22.[37] Beliau kerap memakai splin tulang kering dan menahan radang lutut. Beliau mendapat sista pada kaki kudungnya serta mengalami kepeningan.[38] Pada satu ketika, beliau mengalami kesakitan di mata kaki yang sukar hendak sembuh. Walaupun khuatir boleh mendapat fraktur tekanan, beliau berlari selama tiga hari lagi sebelum mendapatkan rawatan segera. Kemudian, beliau lega setelah menyedari kesakitan itu kesan tendonitis dan boleh diubati.[39] Fox mengetepikan seruan untuknya kerap mendapatkan pemeriksaan kesihatan,[40] dan menafikan dirinya membahayakan lagi kesihatannya pada masa depan.[36]

Sungguhpun amat berdaya pemulihan,[41] pada hujung bulan Ogos, Fox berasa kepenatan sebelum August sebelum memulakan larian untuk hari itu.[42] Pada 1 September, di luar Thunder Bay, beliau terpaksa berhenti seketika setelah kuat terbatuk-batuk dan kesakitan dada. Entah apa yang terdayanya, beliau kembali berlari sepanjang lebuh raya yang dibarisi orang ramai yang menyorakkan sokongan mereka.[43] Beberapa batu kemudian, Fox yang sesak nafas dan masih sakit dada, meminta Alward untuk membawanya ke hospital, kerana beliau khuatir jangan-jangan beliau mungkin sudah melalui kilometer yang terakhirnya.[44] Pada hari keesokannya, Fox dengan dukacitanya membuka sidang akhbar untuk mengumumkan bahawa barahnya sudah merebak ke paru-parunya. Beliau terpaksa menamatkan lariannya selepas 143 hari dan 5,373 kilometer (3,339 mi).[45] Fox menolak tawaran untuk mengambil tempatnya untuk menghabiskan, kerana beliau ingin menghabiskan maraton sendirian sahaja.[2]

Sambutan negara

Patung Terry Fox di Ottawa.

Setakat berhentinya Maraton itu, Fox telah mengumpul $1.7 juta. Beliau sedar bahawa satu negara semakin menyedari kesan penyakit itu, serta berharap agar ini memupuk lagi amalan kedermawanan.[46] Seminggu selepas tamat lariannya, Rangkaian Televisyen CTV mengadakan teleton seluruh negara untuk menyokong Fox dan Persatuan Barah Kanada.[47] Dengan sokongan orang kenamaan dari dalam dan luar negara, acara lima jam itu mengumpul $10.5 juta.[2] Antara dermaan yang dihulurkan termasuk $1 juta masing-masing dari kerajaan wilayah British Columbia dan Ontario (wilayah BC menubuhkan insitut penyelidikan baru sempena Fox, manakala Ontario membiayai Yayasan Perawatan dan Penyelidikan Barah Ontario.[48] Dermaan terus dihulurkan sepanjang musim sejuk, dan menjelang bulan April, lebih $23 juta telah diraih.[49]

Kediaman Fox dibanjiri oleh surat dan tanda sokongan dari para penyokong dan pengucap selamat dari merata dunia, sehingga pernah sekali beliau menerima lebih banyak surat daripada jumlah alamat lain di Port Coquitlam.[50] Sungguh masyhur nama beliau sehingga sepucuk surat yang sekadar beralamat "Terry Fox, Canada" berjaya dihantar.[51] Kerajaan Kanada mengurniakan gelaran Teman Darjah Kebesaran Kanada kepada Fox sebagai orang termuda yang meraih kehormatan tersebut,[52] sementara kerajaan wilayah British Columbia memilihnya ke dalam Darjah Kebesaran Dogwood, anugerah tertinggi wilayah tersebut.[53]

Canada's Sports Hall of Fame menempah pameran kekal untuk Fox,[54] manakala Fox dinamakan sebagai pemenang Anugerah Lou Marsh 1980 sebagai atlit terbaik negara.[55] Beliau dinamakan "Newsmaker of the Year" di negaranya pada tahun 1980. Akhbar Ottawa Citizen memerikan sambutan negara terhadap maratonnya sebagai "salah satu curahan emosi dan kedermawanan terhebat dalam sejarah Kanada".[56]

Rujukan

WikiPedia: Terry Fox http://public.sd43.bc.ca/secondary/terryfox/about_... http://www.brantfordexpositor.ca/ArticleDisplay.as... http://www.canadianencyclopedia.ca/index.cfm?PgNm=... http://archives.cbc.ca/IDD-1-74-1649/people/terryf... http://www.cbc.ca/canada/story/1999/09/19/foxrun99... http://www.cbc.ca/canada/story/2005/09/17/Fox_2520... http://www.cbc.ca/greatest/ http://www.cbc.ca/greatest/top_ten/nominee/fox-ter... http://www.cbc.ca/news/background/fox_terry/ http://www.csse.ca/CJE/KMS/Nov8Jubas.pdf